Sekarang kita nak cakap tentang bagaimana susu ibu dihasilkan. Kalau kita tengok dari segi biologi, proses ni sebenarnya sangat unik dan menakjubkan. Ia berlaku dalam 3 fasa utama yang dimulakan semasa kehamilan dan berterusan selepas kelahiran bayi. Jom kita lihat lebih lanjut tentang 3 fasa ini.
Fasa pertama ni sebenarnya bermula masa ibu hamil dalam trimester kedua. Masa ni badan ibu mula bersedia untuk menghasilkan kolostrum iaitu susu pertama yang keluar selepas melahirkan. Susu ini pekat, kekuningan dan penuh dengan antibodi yang sangat penting untuk melindungi bayi daripada jangkitan. Walaupun kuantitinya sedikit, kolostrum adalah superfood untuk bayi baru lahir kerana ia membantu menguatkan sistem immune mereka. Kolostrum ni keluar dalam 72 jam pertama selepas kelahiran dan ia amat berharga bagi bayi. Oleh itu, ibu-ibu semua segeralah susukan bayi sejurus selepas kelahiran. Anda tak perlu tunggu sehingga susu keluar menitik-nitik baru nak menyusukan bayi. Ini kerana semasa fasa kolostrum, ibu belum lagi terasa payudara penuh. Hanya sedikit sahaja kolostrum yang diperlukan bayi dalam satu sesi penyusuan tetapi ia sangat padat dengan nutrisi. Selepas 72 jam kelahiran, susu ibu akan mula berubah dari kolostrum menjadi susu pertengahan yang lebih cair dan putih. Pada fasa ini, susu ibu mengandungi kalori yang lebih berbanding kolostrum untuk terus menyokong keperluan bayi. Di sinilah bermulanya fasa di mana perlu ada rangsangan pada payudara supaya badan dapat signal yang berterusan untuk menghasilkan susu. Masuk fasa ketiga, susu ibu akan terus dihasilkan selagi ada rangsangan. Di fasa ini, susu sudah berubah dari susu pertengahan ke susu matang. Dan susu matang inilah yang berterusan bayi akan dapat sehinggalah 2 tahun penyusuan atau sehingga bayi bercerai susu. Di fasa ini, semakin banyak bayi menyusu, semakin banyak susu yang akan dihasilkan. Konsep ini dipanggil demand versus supply. Jadi ia adalah proses yang sangat dinamik di mana susu ibu dihasilkan berdasarkan keperluan bayi. Inilah serba sedikit proses penghasilan susu ibu. Dari kolostrum yang penuh dengan antibodi hingga ke susu matang yang kaya dengan nutrisi semuanya disesuaikan mengikut keperluan bayi. Memang menakjubkan bagaimana tubuh ibu dapat menyesuaikan diri dengan setiap fasa perkembangan bayi.
Dalam penyusuan susu ibu, ada 2 organ utama yang sangat penting iaitu payudara dan hipotalamus. Mari kita lihat dengan lebih dekat bagaimana kedua-dua organ ini bekerja untuk menghasilkan susu.
Nombor 1 pada rajah adalah puting iaitu tempat susu keluar. Bayangkan puting ini macam pintu keluar untuk susu yang dihasilkan dalam payudara. Bila bayi menyusu, puting adalah tempat yang mereka pegang untuk mendapatkan susu. Nombor 2 pula areola iaitu kawasan gelap yang mengelilingi puting. Areola ni penting kerana ia adalah tempat yang bayi akan pegang atau melekap semasa menyusu. Jadi bayi akan menggunakan areola untuk memastikan pelekapan yang betul supaya susu mudah keluar. Nombor 3 adalah laluan susu yang mengalir dari alveoli ke puting. Saluran susu ni macam jalan raya yang membawa susu dari tempat susu dihasilkan hingga ke pintu keluar. Tanpa saluran susu ni, susu takkan sampai ke puting. Nombor 4 pula alveoli dan inilah tempat susu dihasilkan. Ia terletak dalam payudara dan berfungsi seperti kilang yang menghasilkan susu. Jadi tanpa alveoli, kita takkan ada susu untuk diberikan kepada bayi. Nombor 5 pula adalah tisu lemak. Tisu lemak ni bukan sahaja memberi bentuk kepada payudara tetapi juga memberi perlindungan kepada tisu lain dalam payudara. Dan yang terakhir, nombor 6 Ligamen Cooper. Ligamen ini sangat penting kerana ia menyokong keanjalan dan bentuk payudara. Sekarang kita dah pun kenal bahagian payudara yang bekerja untuk menghasilkan susu. Di sini pun kita dah boleh faham yang bukan bentuk dan saiz payudara yang menentukan sama ada susu yang mampu dihasilkan ibu itu banyak atau sikit. Sebabnya, susu dihasilkan di dalam alveolus setiap kali adanya rangsangan pada payudara.
Seterusnya, kita lihat pula bagaimana hipotalamus yang terletak di dalam otak bekerja. Hipotalamus ni memang penting dalam penyusuan sebab ia yang mengawal semua isyarat hormon yang diperlukan untuk menghasilkan susu. Bila bayi menghisap payudara, hipotalamus akan menerima isyarat dari rangsangan tersebut dan memberi arahan kepada kelenjar pituitari untuk menghasilkan hormon. Oksitosin dan juga prolaktin, dua hormon penting dalam penyusuan. Hormon prolaktin ni sangat penting kerana ia yang merangsa alveoli untuk menghasilkan susu. Semakin banyak prolaktin, semakin banyak susu yang akan dihasilkan. Hormon oksitosin pula akan menyebabkan otot dalam alveoli mengecut dan memancutkan susu keluar melalui saluran susu. Proses ini dipanggil Refleks Ejeksi Susu dan ia sangat penting untuk memastikan susu sampai kepada bayi. Bayangkan tanpa oksitosin, susu tak akan keluar walaupun ada banyak dalam payudara.
Ok, sekarang mari kita bincangkan tentang prolaktin dan oksitosin, dua hormon yang sangat penting dalam proses penyusuan susu ibu. Tapi jangan risau, kita akan bincangkan dengan cara yang mudah difahami. Proses ini adalah satu sistem yang sangat teratur dan berfungsi dengan sangat baik untuk membantu ibu menghasilkan susu untuk bayi.
Prolaktin adalah hormon yang sangat penting dalam penghasilan susu dan ia sebenarnya lebih banyak dihasilkan pada waktu malam. Sebab itulah kita sering dengar bahawa penyusuan malam amat penting. Kerana waktu malam, hormon prolaktin tinggi di dalam badan dan ini akan memacu kepada lebih banyak penghasilan susu. Ini membantu memastikan susu ibu sentiasa mencukupi. Tapi bagaimana prolaktin berfungsi? Begini, apabila bayi menghisap payudara, reseptor pada puting akan menerima isyarat ransangan. Ransangan ini akan dihantar terus ke bahagian hipotalamus di otak. Hipotalamus ini bertindak seperti pusat kawalan yang akan memberikan arahan kepada kelenjar pituitari untuk menghasilkan prolaktin. Setelah prolaktin dihasilkan, ia akan mengalir melalui darah dan sampai ke kelenjar alveoli yang terdapat dalam payudara. Di sinilah prolaktin akan memberi arahan untuk menghasilkan susu. Jadi, semakin kerap bayi menyusu, semakin banyak susu yang akan dihasilkan oleh ibu. Ini adalah sistem semula jadi yang membantu memastikan bayi mendapat susu ibu yang mencukupi setiap masa. Ringkasnya, prolaktin bekerja sepanjang masa, terutamanya waktu malam untuk memastikan penghasilan susu ibu. Ia adalah kunci untuk mengekalkan kelancaran proses penyusuan.
Sekarang, kita nak bincangkan tentang oksitosin pula. Mungkin ada yang pernah dengar tentang Refleks Ejeksi Susu atau Let Down Reflex (LDR). Reflex ini adalah proses di mana susu mula mengalir keluar dari payudara bila bayi menghisap. Mari kita lihat bagaimana ia berlaku. Pertama, apabila bayi mula menghisap payudara, saraf di sekitar puting dan areola akan menghantar isyarat ke bahagian hipotalamus. Bayangkan ia macam satu sistem komunikasi antara bayi dan ibu, di mana isyarat ransangan ini memberitahu otak bahawa bayi memerlukan susu. Apabila hipotalamus menerima isyarat itu, ia akan memberi arahan kepada kelenjar pituitari untuk merembeskan hormon oksitosin. Oksitosin ini macam pengarah yang memulakan proses penting ini. Oksitosin bertanggungjawab menyebabkan dinding alveoli dalam payudara mengecut. Apa yang berlaku bila alveoli mengecut? Ia menyebabkan susu tertolak keluar dari kelenjar alveoli dan mula bergerak melalui saluran susu menuju ke puting. Kalau anda lihat bayi menelan susu, itu adalah tanda oksitosin berfungsi dengan baik. Pada ketika ini, kita juga akan perasan susu boleh mengalir keluar dari sebelah payudara lagi. Ini berlaku kerana oksitosin membuatkan kedua-dua payudara menghasilkan susu secara serentak. Walaupun bayi hanya menyusu pada sebelah. Dan proses ini akan terus berlaku selagi bayi menghisap dan meransang puting. Oksitosin sangat penting dalam memastikan susu ibu dapat keluar dengan lancar dan cukup untuk bayi. Tanpa oksitosin dan refleks ejeksi susu ini, proses penyusuan tidak akan berjalan dengan begitu efisyen. Jadi, setiap kali bayi menyusu, kita sebenarnya sedang menjalani satu proses yang sangat disusun rapi oleh tubuh kita sendiri.
Jadi, secara keseluruhannya, proses penghasilan susu ibu ini memang sangat menarik dan teratur. Mulanya, susu ibu dihasilkan melalui proses lactogenesis di mana badan ibu mula menghasilkan susu selepas kelahiran. Selepas itu, hormon prolaktin membantu tubuh menghasilkan susu manakala hormon oksitosin pula memastikan susu dikeluarkan dengan baik melalui proses yang dipanggil Refleks Ejeksi Susu. Bila bayi menghisap, isyarat dihantar ke otak untuk meransang kedua-dua hormon ini yang mana akhirnya menyebabkan susu keluar dari payudara dan disalurkan untuk bayi. Selagi ada ransangan daripada bayi, proses penghasilan susu akan terus berlaku. Kesimpulannya, tubuh ibu sangat bijak dan boleh menghasilkan susu yang cukup untuk memenuhi keperluan bayi dengan bantuan dua hormon utama ini, prolaktin dan oksitosin. Menarik kan?